Welcome to my world. Be nice here. Thank you. +Follow | Dashboard
Fake Smile


Credit



Template : Qistina Re
others : una & Athirah
Best view : Google Chrome



Ceritera ~> Cahaya Kasih Aidilfitri .
Sunday, September 11, 2011 | 7:40 AM | 0 comments


Farhan memerhatikan gelagat orang ramai yang sedang beratur membeli juadah untuk berbuka. Bazaar Ramadhan yang menyediakan pelbagai juadah membuatkan Farhan mula rambang mata. Pak Ishak masih lagi mengikut Farhan dari belakang. Dia juga turut rambang mata. Namun murtabak yang berada di tangan kiri adalah juadah wajib untuk dia berbuka.

“Pak Ishak, nak makan apa ni?” Tanya Farhan sambil matanya memandang ke arah kuih tepung pelita yang menarik perhatiannya.

“Terpulanglah pada Encik Farhan nak makan apa. Kuih tu pun nampak macam sedap je.”

“Kak, minta kuih ni 4 ringgit.” Pinta Farhan sambil menundingkan jarinya.

“Banyak betul tu. Nak buat apa?” Tanya Pak Ishak yang agak kehairanan.

“Pak Ishak bawa balik rumah jelah.” Ujar Farhan tersenyum.

“Tak payah susah-suah. Pak Ishak makan murtabak je dah cukup. Lepas tu nak ke masjid untuk Terawikh.”

“Ambil sajalah Pak Ishak. Bawa sekali untuk Mak Mah.”

“Yelah…” Pak Ishak akhirnya bersetuju. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.

Akhirnya Farhan sampai di rumah jam tujuh malam. Masih berbaki 20 minit untuk berbuka. Pak Ishak setelah selesai menghantar Farhan pulang, dia segera balik ke rumah. Kuih tepung pelita yang dibelikan oleh Farhan dibawa bersama.

Farhan segera membersihkan diri dan turun ke ruang makan untuk menikmati hidangan berbuka. Farhan melemparkan senyuman buat Datuk Malik sebelum dia melabuhkan punggung.

“Bila masa Mak Mah masak ni?” Tanya Farhan di saat dia melihatkan masak lemak ayam berada di tengah meja.

“Ayah yang masak.” Farhan segera berpaling.

“Farhan tak percaya.” Farhan menggelengkan kepala.

“Tak percaya tak apa. Cuba rasa, sama tak dengan masakan Mak Mah. Dah lama ayah tinggalkan dunia memasak ni. Masa bujang ayah memang rajin masuk dapur.” Datuk Malik tersenyum.

“Nampak macam sedap.” Farhan sudah tidak sabar untuk menikmati hidangan berbuka itu memandangkan menu kegemarannya jelas di ruang mata. Tidak boleh rasanya untuk dia menolak gulai ayam itu.

Tatkala azan Maghrib mula berkumandang, dua beranak itu mula menikmati hidangan tanpa suara. Datuk Malik memerhatikan Farhan sehingga anak terunanya itu mula membasuh tangan.

“Tahun ni Farhan nak ke luar negara juga ke?” Tanya Datuk Malik seraya dia membasuh tangan.

“Farhan nak ke Switzealand.”

“Beraya dengan ayah tahun ni? Kat sini.” Farhan memandang ke arah Datuk Malik dengan seribu penjelasan.

“Ayah rindu nak beraya dengan Farhan.” Farhan senyap. Cuba untuk mengamati kata-kata ayahnya. Atau lebih menjurus kepada permintaan.

“Maafkan Farhan, ayah. Farhan sudah pun tempah tiket. Lagi pun tak ada apa untuk Farhan beraya di sini.”

“Farhan masih ada ayah.” Farhan mengeluh.

“Ayah kesunyian bila Farhan pergi nanti. Ayah juga yang termenung sorang di sini. Nasib baik ada Pak Ishak. Nampaknya ayah beraya dengan dia tahun ni juga.”

“Kalau macam tu ayah ikut Farhan sajalah.” Cadang Fahan. Dia juga kasihan melihatkan ayahnya sendirian di sini.

“Tidak Farhan! Ayah tidak boleh buat macam tu. Setiap pagi hari raya ayah akan mengunjungi pusara ibu kamu. Ayah tidak akan meninggalkannya. Farhan….”

Farhan terdiam di saat ayahnya mula menyebut akan ‘ibu.’ Entah mengapa hatinya mula sebak.

“Maaf, ayah. Farhan naik dulu.” Farhan tidak dapat berkata lanjut. Akhirnya meninggalkan meja dengan rasa sendu. Datuk Malik hanya sempat memandang ke arah Farhan dengan rasa agak terkilan.

Farhan berteleku di meja dengan kerja-kerja yang masih tertangguh. Keriuhan di luar tidak sedikit pun membuat dia terganggu. Cuping telinganya jelas memerangkap suara Farah yang nyaring.

“Kalau kau nak kuih ni, bayar dulu. 'No fulus' no kuih'. Okey?” begitulah kata-kata Farah yang dapat ditangkap oleh Farhan. Farhan tersenyum dengan gurauan Farah itu. Farah si penjual kuih masa raya. Tiap tahun ada saja tempahan buatnya.

“Oi! Duit tudung yang kau ambik hari tu tak bagi lagi tau.” Kali ini suara Fariha pula yang memetir. Mangsa-mangsa kebanyakkannya lelaki yang sudah sedia ketepikan duit untuk membeli persiapan raya. Nak belikan untuk mak mertualah, tunanglah, binilah, dan yang pasti senyuman Farah dan Fariha akan sampai ke telinga. Mahu tidak, untung mereka berganda. Duit gaji pun tak berusik. Raya sakan mereka tahun ni.
-------------------------------------------------------
Farhan memberi peluang kepada staff-staffnya untuk menikmati suasana hari raya. Lagi pun tidak lama lagi untuk umat Islam menyambut Aidilfitri. Insya-Allah dalam tempoh tiga hari lagi. Farhan memerhatikan gambar yang dia amat rindui. Wajah ibunya jelas di ruang mata. Lagu yang berkumandang di corong radio yang dikawal di pusat kawalan membuatkan
hatinya bertambah sayu. Akhirnya dia mendail nombor Muhammad.

“Mad, tolong offkan radio di dalam bilik saya. Saya sedang buat kerja ni.” Ujar Farhan yang cuba menutup rasa getar sayu hati.

Setelah suasana sunyi, Farhan bangkit dari tempatnya. Dia meninjau keluar bilik. Kosong. Hai, mana yang lain? Dah balik? Mentang-mentang sudah mula bercuti masing-masing balik awal. Farhan melirik ke arah jam dinding di dalam pejabatnya. Patutlah. Sudah 6.30 petang. Farhan mengemas apa patut dan menutup segala lampu dan komputer. Dia harus berada di KLIA sebelum pukul sembilan untuk penerbangan ke Switzealand.

Farhan berlalu dan menghidupkan enjin kereta. Belum sempat dia keluar dari jalan besar, dia menekan brek mengejut. Dia sedar dia telah melanggar seseorang. Farhan bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan.

“Awak tak ada apa-apa?” Farhan cuba membantu gadis berbaju biru itu.

“Kaki saya sakit.” Air mata mula mengalir. Qalesya menyeka air mata yang berbaki.

“Awak boleh bangun tak?” Tanya Farhan lagi. Qalesya cuba bangun namun dia jatuh semula. Beg pakaian yang berada di sisi mula ditarik. Kakinya begitu sakit untuk dia bangkit. Macam mana nak jalan ni?

“Saya minta maaf. Saya betul-betul tak nampak awak tadi. Saya minta maaf. Awak nak pergi mana ni? Biar saya hantar awak.” Farhan cuba memapah Qalesya.

“Saya nak balik Melaka ni.” Gulp! Bagai tersekat di kerongkong anak tekak Farhan. Melaka? Bergurau ke dia ni?

“Alamak.. kalau macam ni terlepaslah bas saya.” Dengan rasa yang agak bersalah, Farhan memasukkan beg baju Qalesya ke dalam bonet kereta.

“Maafkan saya, Encik Farhan.” Farhan tersentak. Dia kenal aku?

“Awak kenal saya?”

“Encik Farhan adalah CEO di syarikat ni. Kalau ada pekerja yang tak kenal dengan CEO dia jangan kata bekerja kat sini.” Farhan membuka pintu untuk Qalesya dan mempelawa gadis itu masuk.

“Tapi saya tak kenal awak.”

“Saya Qalesya, salah seorang pekerja Encik Farhan. Seorang pekerja boleh kenal akan majikannya. Tapi kalau Encik

Farhan nak kenal akan 2,000 pekerja saya tak pasti Encik Farhan boleh lakukan.” Qalesya tersenyum.

Dia tidak sangka dapat menaiki satu kereta dengan majikannya. Bagaikan dalam mimpi. Bukan senang untuk dia berjumpa dengan Farhan. Dalam setahun dia cuma berjumpa dengan Farhan dua kali. Sekali semasa pembentangan keuntungan syarikat dan juga Majlis Beramah Mesra Aidilfitri. Itu pun dari jauh.

“Betul kata awak tu. Eh, pukul berapa tiket bas awak?”

“Lapan.” Ringkas sahaja Qalesya menjawab.

Farhan memandang jam kereta. Hampir waktu berbuka. Dia menguatkan siaran radio KLFM. Menantikan azan berkumandang. Kini baru dia sedar tiada apa untuk dia berbuka. Nampaknya telan air liur sajalah.

Akhirnya azan Maghrib mula berkumandang. Dalam keadaan memandu dia memandang sekeliling. Mencari kedai untuk dia
membeli air atau roti untuk alas perut. Namun dia tersentak apabila Qalesya memberikannya air kotak.

“Encik Farhan ambillah satu. Kebetulan saya beli lebih.” Farhan mengerling ke kiri. Nak diambil dia segan. Nak ditolak dia yang kehausan nanti.

“Ambillah. Jangan malu.” Akhirnya Farhan mengalah. Dia mencapai air kotak dan lantas disedut keras. Jalan dilaluinya mula sesak. Mungkin sudah ramai yang mahu pulang ke kampung halaman.

“Alamak.. jalan sesaklah pulak.” Farhan mula rasa tidak senang. Jam mula menunjukkan keangka 7.45 malam. Lima belas minit lagi Qalesya akan terlepas akan basnya. Dan dia perlu bergegas sebelum pukul 9 malam untuk ke KLIA.

“Bersabarlah Encik Farhan.” Qalesya bersuara apabila melihatkan wajah Farhan yang sudah mula berubah.

“Tidak pun Encik Farhan turunkan saya di stesen LRT. Saya pasti Encik Farhan pun nak balik kampung.” Kampung? Tidak pernah terlintas di fikirannya dia mempunyai kampung. Kuala Lumpur adalah kampungnya. Di luar negara tempat dia menyambut hari raya semenjak sepuluh tahun yang lalu.

Akhirnya Qalesya agak gementar. Lagi lima minit bas akan bertolak. Namun stadium Bukit Jalil masih belum kelihatan. Buatnya terlepas bas, macam mana? Qalesya bertekad. Kalau dia terlepas bas, esok hari akan dia naik tren Komuter ke Seremban dan naik bas kemudiannya. Itu sudah kira terdesak. Nasib baik juga kampung di Melaka. Buatnya jauh di Utara, mahu menangis tak berlagu.

Sampai sahaja di Stadium Bukit Jalil jam menunjukkan ke angka 8.10 malam. Hati Qaleysa berdebar. Dia segera bertanyakan bas di kaunter jualan. Dia hampa. Memang sudah diagak yang dia sudah pun ketinggalan bas. Mahu jatuh air mata Qalesya. Ah, dugaan apakah ini? Qalesya melangkah perlahan dari terminal sementara itu. Dia terpaksa berdikari esok. Yang penting dia mesti pulang ke kampung untuk berhari raya.

Belum sempat dia menelefon keluarga di kampung, raut wajah Farhan berada di mata. Farhan masih belum pulang? Apa dia buat di sini?

“Encik Farhan?” Farhan tersenyum bagai kerang busuk. Baju kemeja biru yang dipakaikan semenjak pagi tadi bagaikan tidak terurus.

“Saya minta maaf kalau saya membuatkan Qalesya terlepas dari bas. Ada apa yang boleh saya tolong?” Qalesya menyeka air mata. Hati lelaki Farhan agak gelisah melihatkan air mata Qalesya buat kali kedua. Dia pasti yang dia perlu membantu Qalesya.

“Tak mengapalah Encik Farhan. Saya boleh balik dengan train esok.” Ujar Qalesya yang cuba tidak memberi beban kepada Farhan. Namun itu juga untuk memberi semangat untuk dirinya juga.

“Ada ke train ke Melaka?”

“Memang la tak de. Esok kena naik komuter ke Seremban. Lepas tu kena ambil bas ke Tampin. Lepas ke Tampin saya kena ambil bas ke Melaka. Sampai Melaka saya kena ambil bas ke kampung saya. Esok pagi saya kena bangun awal.” Terang Qalesya.

“Saya hantar Qalesya balik kampung.” Entah mengapa pelawaan itu laju meluncur dari mulutnya. Bagai tercenggang Qalesya mendengarnya.

“Encik Farhan biar betul. Eh, tak perlulah. Saya boleh balik esok. Jangan bimbang. Esok masih ada. Lusa baru kita nak raya.” Qalesya cuba menolak pelawaan Farhan. Dia tidak mahu menyusahkan majikannya itu.

“Saya hantar awak balik kampung. Please lagi pun kaki awak masih lagi sakit, kan?” Qalesya mula merasa serba-salah.

“Tapi…” Qalesya agak berat dengan tawaran Farhan itu. Walau pun dia tahu Farhan adalah majikannya namun dia merasa agak was-was. Namun dia terdesak.

“Minta saya telefon awak.” Hah? Bagai melopong mulut Qalesya mendengarnya. Telefon bimbit yang berada di tangan Qalesya dicapai. Dia bertanyakan nombor telefon keluarga Qalesya sebelum dia mendail.

“Makcik jangan bimbang. Saya akan hantar dia sampai depan rumah. Kalau kami tak pulang sebelum sahur, makcik boleh panggil polis.” Qalesya binggung.

“Awak jangan bimbang. Saya memang nak hantar awak. Lagi pun saya tidak ada kampung nak balik.” Tanpa sedar, Farhan menarik tangan Qalesya. Qalesya buntu dan terus mengikut Farhan sampai ke kereta.

“Saya tak faham dengan Encik Farhan. Kalau Encik Farhan tak ada kampung kenapa saya lihat Encik Farhan bawa beg besar?”

“Saya bukan nak balik kampung tapi saya nak ke Switzerland.” Perlahan sahaja kata-kata dilontarkan oleh Farhan. Dia tidak mahu Qalesya berfikir bukan-bukan tentang dirinya.

“Ke luar negeri dalam bulan mulia ni? Encik Farhan rugi. Orang bandar semua pulang ke kampung semata-mata nak sambut hari raya. Tapi Encik Farhan? Saya tak faham. Memang sejak kecil lagi ke Encik Farhan beraya di luar negeri?
Macam mana dengan Datuk?

“Sejak sepuluh tahun yang lepas. Ayah saya masih setia di sini. Eh, saya nak singgah di R & R sekejap. Saya nak mandi, solat dan makan sekali. Sudahlah saya tertinggal Maghrib tadi.” Farhan terus mengubah tajuk.

Qalesya mengangguk tanda setuju. Qalesya turun dari kereta dan turut menunaikan solat. Setelah selesai, dia membeli dua buku roti dan air untuk perjalan nanti. Dia kemudiannya pulang ke kereta menantikan Farhan.

Akhirnya penantian Qalesya berhasil apabila melihatkan kelibat Farhan yang sudah pun menukar baju. Kali ini lebih santai. Berbaju t-shirt dan berseluar jeans. Sepanjang perjalanan Qalesya banyak membisu. Dia tidak mahu bertanya lanjut dengan apa yang telah berlaku memandangkan Farhan sendiri tidak selesa dengan pertanyaannya.

“Macam mana dengan kaki awak?”

“Dah okey dah. Kurang sikit lepas saya letak minyak.” Farhan mengangguk. Dia kemudiannya membisu dan tidak berkata apa. Qalesya pula tidak berani bertanya apa takut akan menguris perasaan majikannya itu.

Mereka kemudiannya sampai di Melaka tatkala jam di dalam kereta menunjukkan ke angka 1.00 pagi. Farhan mula terasa letih. Namun dia gagahi juga untuk memandu. Selepas ini dia perlu memandu lagi. Untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Assalamualaikum…” Luang Qalesya nyaring. Namun belum sempat dia memberi salam yang kedua salamnya bersambut. Lebar senyuman sang ibu apabila melihatkan anak gadisnya sudah pulang.

“Maafkan saya, makcik. Terlambat sikit. Saya minta maaf sebab saya bas Qalesya ni terlepas.” Terang Farhan sambil bersalam dengan wanita yang sudah melepasi separuh abad itu.

“Tak mengapa. Makcik senang bila Qalesya selamat sampai. Jemputlah masuk. Rehatkan badan. Tak pun sahur dulu kat sini.” Pelawa Halijah manis.

“Buat susah makcik saja. Tak mengapalah makcik.. saya boleh drive.” Farhan cuba menolak.

“Tak ada susahnya. Jom masuk dulu.” Farhan akur. Dia masuk dan terus duduk di atas kerusi rotan milik keluarga itu. Qalesya sudah pun menghilangkan diri. Mungkin sudah masuk ke bilik agaknya.

“Encik Farhan, bangun sahur.” Farhan tersentak apabila dia dikejutkan. Dalam samar lampu dia melihatkan senyuman Qalesya yang berganti dengan panggilan namanya.

“Dah pukul berapa ni?” Tanya Farhan dalam keadaan terpisat-pisat.

“Pukul lima. Bangun sahur.” Farhan bangkit. Badannya mula segar. Dia mengikut Qalesya dari belakang. Sampai di dapur alangkah terkejutnya Farhan melihatkan adik-adik beradik Qalesya yang begitu ramai. Satu…dua…tiga…empat…lima… dan termasuk Qalesya, enam?

“Ini tak termasuk kak long saya. Saya ada tujuh adik beradik.” Ujar Qalesya sebelum Farhan bertanya. Farhan memandang ke arah Qalesya. Hish! Macam tahu je apa nak ditanya.

Setelah usai sembahyang Subuh Qalesya menghantar Farhan di pintu rumah. Melihatkan Farhan yang sudah bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur. Farhan memboloskan diri ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Namun hampa. Farhan mengeluh. Puas dia memusing kunci namun kereta masih lagi tidak mahu hidup.

“Kenapa Encik Farhan?” Qalesya berlalu menuju ke arah Farhan yang sudah putus asa.

“Entahlah. Kereta ni meragam pulak.” Qalesya tersenyum.

“Mungkin Encik Farhan kena beraya di sini nampaknya. Mana nak cari mekanik sekarang ni?” Farhan mengeluh sekali lagi. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Halijah yang berada di bilik setelah setelah sembahyang Subuh turut melihat Farhan yang masih lagi setia di kereta.

“Kenapa Qalesya?”

“Ini mak, kereta Encik Farhan segan nak hidup.” Ujar Qalesya melawak. Semenjak semalam dia tidak pun melihat segaris senyuman dari bibir majikannya itu.

“Nampaknya Farhan kena beraya dengan kami. Lagi pun Qalesya kata Farhan tak ada kampung. Apa salah beraya dengan kami. Alang-alang dah sampai sini.” Kali ini Halijah pula yang mempelawa.

“Maaf mak cik. Lagi pun saya tak ada baju raya nak di pakai esok. Seganlah mak cik. Tak mengapa, nanti bila matahari naik saya cuba cari mekanik.”

“Alasan saja tu mak. Mustahil Encik Farhan tak beli sebarang persiapan hari raya?” Farhan menggeleng. Qalesya masih lagi tersenyum.

“Encik Farhan, masih belum terlambat lagi. Nanti saya minta adik saya, Syuk untuk temankan Encik Farhan." Qalesya mengusulkan.

Entah mengapa dengan hati yang terbuka Farhan menerima ajakan Qalesya itu. Suasana sebelum raya di kampung membuatkan dia lupa akan segalanya. Qalesya sedari tadi sibuk di dapur bersama ibu dan adik-adiknya. Menyediakan rendang dan kuah ketupat. Aromanya bagai menusuk ke rongga hidung Farhan. Ah, sudah lama tidak merasa rendang dan kuah kacang. Yang lelaki sibuk dengan mencari kayu untuk merebus ketupat. Farhan cuba untuk menolong dan akhirnya dia mendapat kerja mengapak kayu. Farhan menilik kapak dan dia cuba mengapak namun dia digelak.

“Tak mengapalah Encik Farhan… biar saya buat.” Sukri mencapai kapak dan terus mengapak.

“Tak perlulah nak panggil encik. Panggil abang pun dah cukup.” Sukri tersenyum. Farhan segera menyusun kayu. Berborak dengan Sukri begitu menyeronokkan. Bagai dia sudah mengenali lama anak teruna itu.

“Lepas kita rebus ketupat, kita pergi pekan sekejap. Kak ngah kata abang tak ada baju Melayu. Nanti ikut Syuk. Kita pergi ke pekan ya.” Farhan tersenyum mendengarkan ajakan itu. Betapa hatinya tenang ketika itu. Sambutan Qalesya dan sekeluarga begitu bermakna buatnya.

Azan Isya' berkumandang dan kemudian disusuli dengan Takbir Raya. Farhan masih lagi memandang ke luar jendela. Lamunanya begitu jauh. Semenjak dia kecil, dia tidak pernah merasai Aidilfitri yang begitu bermakna seperti ini.

Betapa dia aman dan bahagia di desa yang begitu mendamaikan jiwa. Namun di hati, Farhan masih lagi merintih. Pemergian ibunda di malam Aidilfitri bagaikan berlaku semalam.

Tanpa disedari, perilaku Farhan diperhatikan oleh Qalesya dari belakang.

“Kak ngah, pergilah tengok abang Farhan tu. Dari tadi asyik termenung je.” Bisik Malina perlahan di cuping telinga Qalesya.

“Encik Farhan...” Farhan tersentak dan berpaling. Kali ini dia terkejut dengan senyuman yang dilemparkan oleh Farhan untuknya. Hati Qalesya mula berdebar.

Ya Tuhan, kau tetapkan hatiku.. Patutlah ramai yang memuja CEO muda ini. Dengan wajah bersih, ala cina dan rambut ikal dan lesung pipit. Ah, patutlah Rohana tak tidur malam. Hati kecil Qalesya tertawa bila teringatkan rakan sekerjanya.

“Saya nampak Encik Farhan termenung panjang. Kenapa? Encik Farhan tak selesa di sini ke?” Farhan senyap. Qalesya masih lagi berdiri dan menantikan kata-kata Farhan.

“Bukan... Saya memang seronok di sini. Qalesya nak tahu mengapa saya berhari raya di luar negeri selama sepuluh tahun ini?” Qalesya senyap. Menantikan bicara yang akan dilafazkan oleh Farhan sebentar nanti.

“Ibu menyayangi saya dengan menatang bagai minyak yang penuh. Berkongsi kegembiraan dan kedukaan saya. Saat saya inginkan lagi kasih-sayangnya, Allah telah menjemputnya di malam Aidilfitri kerana barah yang dihadapinya. Sejak itu di saat malam raya saya tidak dapat melupakannya. Saya keluar negeri untuk tidak memikirkan.” Qalesya menghampiri
Farhan. Minyak wangi berjenama Polo menerawang mencecah hujung hidung Qalesya.

“Encik Farhan bukan melupakan masalah, tetapi Encik Farhan ingin lari dari masalah. Encik Farhan beruntung kerana sudah tahu akan pemergiannya. Saya, kehilangan ayah saat kami adik-beradik perlukan kasih-sayangnya. Di malam raya juga ayah terlibat kemalangan jalan raya semasa ingin ke masjid. Dengan keadaan kami adik-beradik yang ramai, saya terpaksa mengharungi cabaran itu. Setiap yang hidup perlu teruskan hidup. Lagi pun Encik Farhan punyai ayah.”

“Saya buntu, Qalesya.”

“Masih belum terlambat, Encik Farhan. Encik Farhan mempunyai ayah yang perlukan kasih-sayang dari seorang anaknya. Dan Encik Farhan perlu mengambil kesempatan ini sebelum dia pula yang meninggalkan kita.” Bagai tersentak Farhan mendengarkan luahan Qalesya itu.

Farhan terdiam. Memandang ke arah raut wajah Qalesya dengan tulus. Wajah itu mempamerkan sebuah kejujuran. Qalesya akhirnya meninggalkan Farhan sendirian dalam melayani perasaan. Angin malam membuatkan Farhan meninggalkan jendela itu bersama-sama kenangan lama. Keriuhan adik-adik Qalesya membuatkan dia terhibur. Dia melepaskan satu keluhan beban yang selama ini bersarang di dalam hati. Malam ini dia benar-benar terasa lapang.

Azan Subuh mula berkumandang. Kemudian disusuli dengan Takbir Raya yang sayup kedengaran. Farhan segera bangkit dan terus ke bilik air. Setelah Mandi Sunat Aidilfitri wajahnya tulus disimbahi dengan air wudu’ . Meminta keberkatan dan keinsafan di hari mulia, air mata Farhan mula tumpah.

Setelah sepuluh tahun dia melarikan diri, inilah kali pertama dia berhari raya di tanah airnya sendiri. Setelah bersiap dia terus menuju ke masjid bersama-sama dengan Sukri untuk menunaikan Solat Aidilfiri. Betapa dia gembira dan seronok apabila melihatkan ramai umat Islam yang berlumba-lumba ke masjid untuk menunaikan sembahyang Aidilfitri. Masing-masing berbaju baru dan semuanya serba indah.

Selesai sahaja bersembahyang, Farhan bertekad untuk pulang ke Kuala Lumpur dan akan menyambut hari raya bersama-sama dengan ayahnya.

“Assalamualaikum…” Farhan melangkah masuk ke dalam rumah sambil membuka songkok. Dia begitu kacak dengan mengenakan sepersalinan baju Melayu hijau cekak musang. Namun langkah Farhan terhenti apabila dia mengenali wajah yang sedang duduk di ruang tamu.

“Ayah?” Farhan terus memeluk Datuk Malik dengan erat.

“Maafkan Farhan ayah. Selama ini Farhan banyak menguriskan hati ayah.”

“Alhamdulillah. Hasrat ayah untuk berhari raya dengan Farhan tahun ini termakbul.” Datuk Malik melemparkan senyuman buat anaknya.

“Tapi.. macam mana ayah tahu yang Farhan ada di sini?”

“Tu.. Qalesya yang beritahu. Kalau dia tak de mungkin ayah ingat kamu di Switzealand.” Farhan berpaling ke arah Qalesya yang sedondon dengan warna bajunya. Degup jantung Farhan bagai terhenti melihatkan Qalesya yang melemparkan senyuman buatnya.

“Saya minta maaf Encik Farhan kalau saya membuat keputusan tanpa bertanya lagi. Niat saya adalah untuk melihat Encik Farhan berhari raya dengan keluarga Encik Farhan sendiri. Betapa indah jika keluarga berada di samping kita saat hari mulia ini.” Sekali lagi Farhan kagum dengan kata-kata Qalesya itu.

“Tak, sebenaranya saya yang perlu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana menyedarkan saya. Memberi nasihat dan kekuatan yang selama ini saya lemah. Terima kasih, Qalesya.” Qalesya tersenyum. Berbunga hatinya mendengarkan butir bicara Farhan itu. Memang niatnya untuk menyatukan Farhan dan Datuk Malik. Dia tidak mahu
kedua beranak itu tidak bersama di hari mulia ini.

“Nasib baiklah kampung Pak Ishak kamu ni sebelah je. Malam tadi Qalesya telefon ayah. Beritahu mana kamu berada. Ayah telefon kamu, tak berangkat.”

“Maaf ayah. Telefon Farhan tertinggal ni pejabat. Kalut masa nak balik. Mungkin ada hikmahnya apa yang telah berlaku dua tiga hari ini, ayah.” Farhan sedar jika tidak dia tertinggal telefon bimbit, terlanggar Qalesya dan keretanya rosak mungkin dia tidak dapat menikmati hari raya yang penuh bermakna seperti sekarang ini.

“Tahun depan nak beraya ke mana pula?” Sengaja Datuk Malik ingin menduga anaknya.

“Saya dah ada kampung.” Farhan bersuara sambil tersenyum ke arah Qalesya.

Setahun sudah berlalu…

Farhan menekan butang intercom dan butang di meja Qalesya menyala.

“Sayang, tahun ni kita balik raya seminggu lebih awal, boleh?” Qalesya ketawa kecil. Dia tidak menyangka semenjak dia berkahwin dengan Farhan, suaminya itu suka untuk pulang ke kampung.

“Abang, kerja Qalesya belum habis lagi.” Renggek Qalesya manja di corong telefon.

“Tak pe… abang luluskan cuti sayang. Kita cuti dua minggu ye.” Ujar Farhan dalam nada yang ceria.

“Habis siapa nak siapkan kerja Qalesya nanti?”

“Abang temankan sayang sampai sayang siap. Bolehlah ye…”

“Okey.. tapi jangan pula abang yang tertidur nanti.” Farhan ketawa. Kasihnya kepada Qalesya kian bercambah. Cinta untuk Qalesya kian membenih. Cinta pandang pertama mengubah seluruh hidupnya.

“Sayang…”

“Nak apa lagi? Nanti orang lain dengar malulah.”

“Terima kasih segalanya.. dan tahun ni raya abang lebih bermakna dengan kehadiran sayang.” Ucapan itu membuatkan Qalesya tersenyum menahan malu dan kasih sayang untuk Farhan kian bercambah.

-Artikel iluvislam.com

Kadangkala kita tidak perasan apa hikmah di sebalik ketentuan Allah. Pastinya kita inginkan yang baik-baik sahaja..(♥_-)